Tuesday 6 May 2014

LEVEL KEMATANGAN ANDA

Kita sering mendengar frasa..

"Kematangan itu hadir dengan umur.."

Sejauh mana benarnya penyataan ini? Adakah dengan umur itu bermaksud kita lebih matang kerana banyak pengalaman? Adakah pengalaman itu kayu ukur yang baik untuk menunjukkan tahap kematangan seseorang?

Pagi ini saya ingin mengajak Patriots semua untuk melihat semula apakah nilai-nilai yang perlu ada bagi seseorang yang matang.

----------

1. ANDA MENDENGAR LEBIH, BERKATA KURANG

Kita selalu mendengar orang berkata..

"There's a reason why God gave us 2 ears and 1 mouth.."

Sebenarnya ada betulnya penyataan ini. Seseorang yang matang akan mampu untuk lebih mendengar sebelum melontarkan pendapat. Kematangan di sini hadir dari kesabaran kita untuk menganalisis sesuatu perkara secara keseluruhan.

----------

2. SELAIN DARI MENJAGA MEREKA YANG TERSAYANG, ANDA JUGA MENJAGA DIRI ANDA SENDIRI

Kadang-kala kita merasakan dengan berkorban diri untuk mereka yang kita sayangi adalah tanda kematangan. Ianya betul tetapi separuh betul. Orang yang matang bukan hanya mampu menjaga mereka yang tersayang malah dia juga tahu kepentingan menjaga diri sendiri. Dengan menjaga diri sendiri, dia tahu bahawa dia mampu berbuat lebih untuk mereka yang tersayang.

----------

3. ANDA MENYIMPAN LEBIH DARI ANDA BERBELANJA

Ini menunjukkan perbelanjaan terkawal. Ia juga menunjukkan anda mampu mengawal nafsu. Selain dari itu, jika apa yang anda perolehi tidak mencukupi untuk simpanan, anda berusaha untuk mencari jalan untuk menambah pendapatan untuk perbelanjaan dan simpanan.

----------

4. ANDA LEBIH BANYAK MEMBACA

Suka membaca dan mengkaji tentang sesuatu perkara adalah tanda-tanda kematangan dalam berfikir dan mengutarakan pendapat. Ada pepatah berbunyi..

"Sedangkan belakang parang diasah lagikan tajam.."

Akal manusia juga begitu. Perlu diasah dan ditajamkan melalui pembacaan dan pengkajian. Lebih baik lagi, ditambah dengan penulisan. Di sinilah proses kematangan itu berlaku. Ianya akan dapat digambarkan melalui lontaran pendapat ataupun penulisan.

----------

5. ANDA DAPAT MENYESUAIKAN DIRI DENGAN MEREKA YANG BERLAINAN UMUR, KEGEMARAN, IDEOLOGI DAN PANGKAT

"The Art of Changing Hats"

Ini ialah konsep di mana ia menunjukkan bagaimana kita dapat menyesuaikan diri bukan sahaja dengan keadaan sekeliling malah manusia sekeliling. Pepatah Melayu juga ada mengajar tentang konsep ini melalui peribahasa..

"Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak"

----------

6. ANDA SENTIASA TERSENYUM

Ini menandakan kematangan dari segi emosi. Kita mampu mengawal emosi kita dengan senyuman. Ia juga satu tanda bahawa kita sentiasa 'calm and collective' dalam apa jua situasi.

----------

7. ANDA KURANG BERBALAH

Anda lebih suka untuk berdiam diri setelah menyatakan pendapat tentang sesuatu isu. Anda tahu bahawa jikalau diajak berdebat, perbalahan itu tidak akan ada penghujungnya. Level kematangan yang lebih tinggi ialah apabila anda mampu 'agree to disagree' dengan seseorang.

----------

8. ANDA TIDAK LARI DARI TANGGUNGJAWAB

Berani berdepan apa juga samada ianya perkara yang baik mahupun perkara yang buruk. Anda mendepani realiti, mendepani masalah anda dan berusaha memperbaikinya.

----------

Ini adalah 8 perkara yang dapat kita jadikan kayu ukur nilai kematangan seseorang. Mungkin ada lagi kayu ukur yang lain yang warga Patriots ingin berkongsi bersama..

Silakan..

----------

*Nak tahu apa musuh terbesar kematangan.. Ianya dipanggil ego..

- JB -

(Morning Motivations)

No comments:

Post a Comment